• Selamat datang ke laman web rasmi Bahagian Wakaf Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

PENGERTIAN WAKAF HARTA ALIH

Mewakafkan harta yang boleh beralih, seperti haiwan, kenderaan, alat-alat perang, pakaian, berus, bejana dan buku-buku yang bermanfaat adalah sah. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya: Sabda Rasulullah SAW:

مَنِ احْتَبَسَ فَرَسًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِيمَانًا بِاللَّهِ وَتَصْدِيقًا بِوَعْدِهِ، فَإِنَّ شِبَعَهُ وَرِيَّهُ وَرَوْثَهُ وَبَوْلَهُ فِي مِيزَانِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mewakafkan kuda di jalan Allah kerana keimanannya kepada Allah dan kerana menunaikan janjinya, maka segala makanan, minuman, tahi dan kencing kuda itu akan dimasukkan ke dalam timbangan kebaikannya pada hari Akhirat.”


PENGERTIAN WAKAF HARTA TAK ALIH

Harus mewakafkan harta yang tidak boleh beralih atau kekal sama ada dalam bentuk tanah, rumah, bangunan perniagaan, perigi atau mata air, sama ada barang-barang tersebut boleh diambil manfaatnya dengan segera ataupun pada masa akan datang.

Hukum ini berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan amalan para sahabat, sebagaimana kata Jabir RA: “Tiada seorang pun di kalangan para sahabat yang berkemampuan, tetapi tidak mewakafkan hartanya.”

Begitu juga kata Imam al-Syafie Rahimahullah: “Telah sampai kepadaku berita bahawa lapan puluh orang sahabat di kalangan Ansar telah bersedekah dengan sedekah muhramat.” Iaitu bermaksud mewakafkan harta.

Sebagaimana yang diketahui umum, kebanyakan harta yang diwakafkan adalah berbentuk tanah, rumah atau bangunan.

OBJEKTIF

1. Menyucikan harta umat Islam.

2. Mengharapkan pahala yang berpanjangan meskipun telah meninggal dunia.

3. Mengukuhkan pegangan aset umat Islam.

4. Menggalakkan peningkatan sosioekonomi umat Islam melalui ketersediaan aset-aset untuk tujuan Pembangunan.